Memulihara sungai tercemar
Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my
|
Kewujudan kilang yang banyak di tebing Sungai Pinang menyebabkan sungai ini tercemar teruk. |
SETIAP tahun, penduduk dunia akan menyambut Hari Alam Sekitar pada tarikh 5 Jun. Pilihan tema tahun ini adalah Pelbagai Spesies, Satu Planet, Satu Masa Depan (
Many Species, One Planet, One Future). Jika disentuh tentang alam sekitar, pasti tergambar di kotak fikiran kita betapa dunia kini sarat dengan pelbagai jenis masalah dan pencemaran. Selain isu pemanasan global yang tidak henti-henti dibincangkan umum, masalah lain seperti pencemaran sungai, pencabulan hutan, jerebu dan lain-lain turut menjadi perbahasan hangat di merata dunia.
Tidak terkecuali, negara kita juga dilanda aneka bentuk pencemaran yang jika tidak diatasi akan membawa padah kepada seluruh generasi. Antara pencemaran yang begitu menjejaskan alam sekitar di kawasan bandar adalah sungai tercemar.
Satu ketika dahulu, sungai dikaitkan sebagai nadi kehidupan masyarakat terutama pada zaman awal pembukaan penempatan manusia.
Malah, bandar purba dan sebahagian bandar moden hari ini tumbuh dan berkembang di sekitar muara-muara sungai di seluruh dunia. Misalnya, penempatan bandar pertama dunia iaitu Uruk, Erina dan Ur kira-kira 6,000 tahun lalu (4000 SM) di Mesopotamia dan Babylon dibina di lembangan sungai yang subur di Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Manakala banyak bandar-bandar utama di Malaysia hari ini berkembang di kuala-kuala sungai, misalnya Kuala Lumpur, Kuching, Kuantan dan Kuala Terengganu.
Fakta itu membuktikan kepentingan sungai sudah menyerlah sejak ribuan tahun lalu sebagai sumber yang membekalkan air bagi keperluan harian, pertanian, dan sistem pengangkutan utama.
Namun, kepentingan itu semakin dilupakan apabila sungai-sungai yang pernah menjadi nadi kehidupan manusia 'rosak' dan semakin tenat.
Lihat sahaja betapa Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang kekal dalam senarai antara sungai paling tercemar di negara ini.
Tahap pencemaran kedua-dua sungai itu menyebabkan kualiti airnya diletakkan di dalam kelas 4 (tercemar) dan kelas 5 (mati).
Bahan pencemar utama di kedua-dua sungai itu adalah sisa dari kilang-kilang yang banyak terdapat di kedua-dua tebing sungai tersebut.
Akibatnya, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar sehingga mencecah ratusan juta ringgit untuk memulihkannya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, lebih 1,000 sungai di seluruh negara dipantau secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar.
Menurutnya, pemantauan dilakukan mengikut hari, tetapi jika sungai tersebut mempunyai loji pembersihan air untuk bekalan air penduduk, maka pemantauan akan dilakukan mengikut jam.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk memulihkan sungai tercemar.
"Jumlah itu memang besar, tetapi sebenarnya ia tidak mencukupi untuk memulihkan pencemaran sungai di seluruh negara," katanya kepada
Utusan Malaysia.
Pencemaran sungai yang teruk mampu merencatkan pertumbuhan ekonomi negara memandangkan kos pemulihan sungai memakan dana yang besar.
Kos bagi tujuan pemulihan sungai adalah antara RM100 juta hingga RM400 juta.
Adalah lebih baik jika peruntukan yang amat besar itu digunakan untuk tujuan lain khususnya dalam menyediakan kemudahan infrastruktur untuk penduduk.
Mengulas kaedah pemulihan sungai, Dr. Ahmad Zaharin berkata, terdapat tiga kaedah yang digunakan iaitu fizikal, kimia dan biologikal.
Kaedah fizikal memerlukan satu sistem penapis diletakkan di sungai bagi memproses sistem pengudaraan di dalam air sekali gus meningkatkan kualiti air.
Kaedah itu didapati berkesan dalam jangka masa pendek tetapi kurang praktikal untuk jangka masa panjang.
Manakala kaedah kimia melibatkan rawatan kualiti air dengan menggunakan bahan-bahan kimia tertentu.
Dr. Ahmad Zaharin yang menumpukan pada kaedah biologikal berkata, ia menggunakan konsep teknologi hijau.
"Saya telah menjalankan kajian di makmal yang mana saya dapati terdapat mikrob dan bakteria yang telah dikultur mampu merawat air tercemar," ujarnya sambil memberitahu jenis bakteria yang digunakan adalah daripada keluarga
basilus.
Menjelaskan kaedah itu, katanya ekstrak yang diambil dari bakteria tersebut akan bertindak sebagai bahan pengumpul (
bioflocullant) bahan-bahan terampai di dalam sungai tercemar.
Mengulas mengenai punca utama pencemaran sungai, katanya ia berpunca daripada aktiviti pembangunan tanah dan pelepasan sisa dari kilang. Selain itu, penyumbang lain adalah sisa dari ladang ternakan babi yang mana ia dilepaskan ke dalam sungai sehingga ada sungai yang 'mati' akibatnya.
Sehubungan itu, Dr. Ahmad Zaharin menasihatkan tauke ternakan babi menerima cadangan supaya sistem ternakan berpusat dapat dijalankan di negara ini.
"Memang kos permulaan mahal untuk membangunkan sistem ternakan berpusat seperti di negara maju, tetapi untuk jangka masa panjang, ia lebih baik. Bak kata orang, mencegah lebih baik daripada merawat," katanya yang merujuk pencemaran sungai merupakan antara faktor merebaknya wabak penyakit tertentu.
Beliau yang kesal dengan sikap masyarakat tempatan yang masih tidak berubah dengan menjadikan sungai sebagai 'tong sampah', memberitahu keadaan itu diburukkan lagi dengan masalah penempatan haram pendatang tanpa izin dari Indonesia, India, Sri Lanka dan Bangladesh.
Menurutnya, sikap pendatang tanpa izin termasuk pekerja asing dari negara-negara tersebut yang menjadikan kawasan tebing sungai sebagai penempatan mereka, menjejaskan lagi kualiti air sungai terutama di kawasan bandar.
"Mereka membawa mentaliti dari negara asal iaitu membuang sampah di dalam sungai adalah perkara biasa," ujarnya.
Justeru, pihak berkuasa tempatan perlu membuat pemantauan dan pemeriksaan yang lebih kerap agar penempatan haram di tebing-tebing sungai diruntuhkan demi kesejahteraan sungai kita.
Read more...