Laman blog yang memaparkan isu semasa dan aktiviti terkini Ranger River SMK Paka berkaitan masa depan sungai Paka khusus dan sungai di Malaysia amnya.

Showing posts with label RENCANA. Show all posts
Showing posts with label RENCANA. Show all posts

RENCANA: Memulihara Sungai Tercemar

>> Thursday, 21 July 2011

Memulihara sungai tercemar


Kewujudan kilang yang banyak di tebing Sungai Pinang menyebabkan sungai ini tercemar teruk.


SETIAP tahun, penduduk dunia akan menyambut Hari Alam Sekitar pada tarikh 5 Jun. Pilihan tema tahun ini adalah Pelbagai Spesies, Satu Planet, Satu Masa Depan (Many Species, One Planet, One Future). Jika disentuh tentang alam sekitar, pasti tergambar di kotak fikiran kita betapa dunia kini sarat dengan pelbagai jenis masalah dan pencemaran. Selain isu pemanasan global yang tidak henti-henti dibincangkan umum, masalah lain seperti pencemaran sungai, pencabulan hutan, jerebu dan lain-lain turut menjadi perbahasan hangat di merata dunia.
Tidak terkecuali, negara kita juga dilanda aneka bentuk pencemaran yang jika tidak diatasi akan membawa padah kepada seluruh generasi. Antara pencemaran yang begitu menjejaskan alam sekitar di kawasan bandar adalah sungai tercemar.
Satu ketika dahulu, sungai dikaitkan sebagai nadi kehidupan masyarakat terutama pada zaman awal pembukaan penempatan manusia.
Malah, bandar purba dan sebahagian bandar moden hari ini tumbuh dan berkembang di sekitar muara-muara sungai di seluruh dunia. Misalnya, penempatan bandar pertama dunia iaitu Uruk, Erina dan Ur kira-kira 6,000 tahun lalu (4000 SM) di Mesopotamia dan Babylon dibina di lembangan sungai yang subur di Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Manakala banyak bandar-bandar utama di Malaysia hari ini berkembang di kuala-kuala sungai, misalnya Kuala Lumpur, Kuching, Kuantan dan Kuala Terengganu.
Fakta itu membuktikan kepentingan sungai sudah menyerlah sejak ribuan tahun lalu sebagai sumber yang membekalkan air bagi keperluan harian, pertanian, dan sistem pengangkutan utama.
Namun, kepentingan itu semakin dilupakan apabila sungai-sungai yang pernah menjadi nadi kehidupan manusia 'rosak' dan semakin tenat.
Lihat sahaja betapa Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang kekal dalam senarai antara sungai paling tercemar di negara ini.
Tahap pencemaran kedua-dua sungai itu menyebabkan kualiti airnya diletakkan di dalam kelas 4 (tercemar) dan kelas 5 (mati).
Bahan pencemar utama di kedua-dua sungai itu adalah sisa dari kilang-kilang yang banyak terdapat di kedua-dua tebing sungai tersebut.
Akibatnya, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar sehingga mencecah ratusan juta ringgit untuk memulihkannya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, lebih 1,000 sungai di seluruh negara dipantau secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar.
Menurutnya, pemantauan dilakukan mengikut hari, tetapi jika sungai tersebut mempunyai loji pembersihan air untuk bekalan air penduduk, maka pemantauan akan dilakukan mengikut jam.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk memulihkan sungai tercemar.
"Jumlah itu memang besar, tetapi sebenarnya ia tidak mencukupi untuk memulihkan pencemaran sungai di seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia.
Pencemaran sungai yang teruk mampu merencatkan pertumbuhan ekonomi negara memandangkan kos pemulihan sungai memakan dana yang besar.
Kos bagi tujuan pemulihan sungai adalah antara RM100 juta hingga RM400 juta.
Adalah lebih baik jika peruntukan yang amat besar itu digunakan untuk tujuan lain khususnya dalam menyediakan kemudahan infrastruktur untuk penduduk.
Mengulas kaedah pemulihan sungai, Dr. Ahmad Zaharin berkata, terdapat tiga kaedah yang digunakan iaitu fizikal, kimia dan biologikal.
Kaedah fizikal memerlukan satu sistem penapis diletakkan di sungai bagi memproses sistem pengudaraan di dalam air sekali gus meningkatkan kualiti air.
Kaedah itu didapati berkesan dalam jangka masa pendek tetapi kurang praktikal untuk jangka masa panjang.
Manakala kaedah kimia melibatkan rawatan kualiti air dengan menggunakan bahan-bahan kimia tertentu.
Dr. Ahmad Zaharin yang menumpukan pada kaedah biologikal berkata, ia menggunakan konsep teknologi hijau.
"Saya telah menjalankan kajian di makmal yang mana saya dapati terdapat mikrob dan bakteria yang telah dikultur mampu merawat air tercemar," ujarnya sambil memberitahu jenis bakteria yang digunakan adalah daripada keluarga basilus.
Menjelaskan kaedah itu, katanya ekstrak yang diambil dari bakteria tersebut akan bertindak sebagai bahan pengumpul (bioflocullant) bahan-bahan terampai di dalam sungai tercemar.
Mengulas mengenai punca utama pencemaran sungai, katanya ia berpunca daripada aktiviti pembangunan tanah dan pelepasan sisa dari kilang. Selain itu, penyumbang lain adalah sisa dari ladang ternakan babi yang mana ia dilepaskan ke dalam sungai sehingga ada sungai yang 'mati' akibatnya.
Sehubungan itu, Dr. Ahmad Zaharin menasihatkan tauke ternakan babi menerima cadangan supaya sistem ternakan berpusat dapat dijalankan di negara ini.
"Memang kos permulaan mahal untuk membangunkan sistem ternakan berpusat seperti di negara maju, tetapi untuk jangka masa panjang, ia lebih baik. Bak kata orang, mencegah lebih baik daripada merawat," katanya yang merujuk pencemaran sungai merupakan antara faktor merebaknya wabak penyakit tertentu.
Beliau yang kesal dengan sikap masyarakat tempatan yang masih tidak berubah dengan menjadikan sungai sebagai 'tong sampah', memberitahu keadaan itu diburukkan lagi dengan masalah penempatan haram pendatang tanpa izin dari Indonesia, India, Sri Lanka dan Bangladesh.
Menurutnya, sikap pendatang tanpa izin termasuk pekerja asing dari negara-negara tersebut yang menjadikan kawasan tebing sungai sebagai penempatan mereka, menjejaskan lagi kualiti air sungai terutama di kawasan bandar.
"Mereka membawa mentaliti dari negara asal iaitu membuang sampah di dalam sungai adalah perkara biasa," ujarnya.
Justeru, pihak berkuasa tempatan perlu membuat pemantauan dan pemeriksaan yang lebih kerap agar penempatan haram di tebing-tebing sungai diruntuhkan demi kesejahteraan sungai kita.

Read more...

KEBERSIHAN SUNGAI TANGGUNGJAWAB BERSAMA

>> Sunday, 19 June 2011

Kebersihan Sungai Tanggungjawab Bersama


Mutu kebersihan sungai di negara ini semakin merosot berikutan sikap masyarakat dan pemilik industri yang membuang sampah dan sisa kilang ke sungai sewenang-wenangnya. Bekas perdana Menteri Tun Dr. Mahathir secara peribadi pernah menyuarakan kebimbangan beliau terhadap masalah pencemaran ini. Pencemaran sungai di negara ini bukan sahaja gagal untuk membantu industri pelancongan bahkan keadaan ini juga boleh menimbulkan masalah jika sungai digunakan sebagai sumber air minuman. Ekoran dari ini, kerajaan menetapkan laporan kualiti alam sekitar merangkumi maklumat terkini mengenai kualiti air dan udara serta pencemaran di negara ini perlu disediakan setiap tiga bulan untuk dibentangkan kepada kabinet.

Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar terpaksa mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan program bagi menyedarkan masyarakat terhadap tanggungjawab memelihara alam sekitar. Gesaan dibuat supaya Jabatan Parit dan Saliran (JPS) sentiasa memperhebatkan kempen Cintailah Sungai Kita kerana kabinet masih tidak berpuas hati terhadap tahap kebersihan sungai. Kempen ini harus diteruskan dengan lebih hebat agar dapat meningkatkan kesedaran orang ramai serta pemilik industri. Hasil kajian yang dijalankan oleh JPS menunjukkan kira-kira 20 sungai mengalami pencemaran serius antaranya Sungai Klang dan Sungai Sepang di Selangor, Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Jimah di Negeri Sembilan dan Sungai Skudai di Johor kerana pembuangan sisa industri, sampah-sarap serta najis ternakan yang dibiarkan berlaku sesuka hati.

Kerajaan negeri juga amat perlu memainkan peranan dalam meningkatkan usaha serta rumusan jangka panjang kepada isu alam sekitar ini. Mereka boleh mengambil tindakan dan mengenal pasti sungai yang terdapat di negeri masing-masing kemudian membahagikan tahap kebersihan sungai itu kepada tiga kategori iaitu;

I) Sungai Bersih
II) Sungai Tercemar (sederhana)
III) Sungai Tercemar (teruk)

Selain itu, tindakan dan langkah segera perlu diambil untuk membersihkan sungai yang menghadapi masalah pencemaran di negeri masing-masing. Mereka juga harus berani bertindak dan mengambil tindakan untuk memberhentikan pencerobohan kawasan tadahan air.

Bagaimanapun, kesedaran dan sifat tanggungjawab individu terhadap alam sekitar adalah tonggak utama bagi memastikan masyarakat memberi tumpuan kepada penjagaan sejagat.

Read more...

Langkah-langkah mengatasi masalah pencemaran sungai

>> Saturday, 11 June 2011




Langkah Mengatasi Masalah Pencemaran di Sungai.

August 26th, 2008 by Augustine Towonsing

Dalam usaha mengekalkan tahap pencemaran semasa supaya tidak menjadi lebih teruk maka langkah-langkah yang wajar perlu diambil supaya punca pencemaran dapat dikurangkan dan antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah seperti berikut:-

a) Menyediakan tangki takungan bawah tanah yang dirawat.
Untuk mengatasi masalah pelepasan air buangan domestik supaya tidak dilepaskan terus ke dalam sistem perparitan maka adalah perlu disediakan tangki takungan bawah tanah dan dirawat menggunakan bioteknologi selaras dengan usaha negara menjadikan Malaysia sebagai pusat bioteknologi rawatan air (Utusan Malaysia, 2006).
Malah, pihak kerajaan seharusnya memperuntukkan sejumlah wang supaya sistem perparitan daripada kawasan perumahan terutama kawasan perindustrian dan juga pengusaha kedai makanan perlu dibina saluran paip khas supaya air buangan dapat dikumpulkan di kolam takungan sebelum disalirkan ke dalam sistem perparitan.

b) Menambah bilangan tong sampah di pusat pengumpulan sampah.
Hasil tinjauan juga mendapati bahawa pengurusan sampah yang lemah bukan sahaja pada peringkat sekolah tetapi juga peringkat majlis perbandaran yang menyebabkan sampah sarap bertaburan merata tempat.
Oleh itu, diperingkat sekolah pengurusan peletakan tong sampah perlu diambil kira. Tong sampah perlu ditambah di tempat strategik sebagai pusat pengumpulan sampah supaya sampah tidak melimpah.

c) Pemasangan perangkap sampah.
Untuk mengatasi sampah sarap dialirkan oleh air melalui longkang, adalah perlu supaya perangkap sampah dipasang di tempat-tempat strategik di sepanjang parit utama untuk memerangkap sampah sarap juga memudahkan pengurusan penyelenggaraan.

d) Penyelenggaraan sistem perparitan berkala.
Untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tidak tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan iaitu 1 atau 2 kali sebulan. Dengan cara ini, maka sampah sarap tidak akan menyebabkan sekatan air sekali gus sampah tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.
e) Kempen kesedaran melalui iklan TV.
Untuk mengatasi masalah sikap kebanyakan penduduk yang bersikap 'tidak apa' perlu ditangani. kempen kesedaran melalui Iklan TV mengenai kesan sikap individu yang membuang sampah tanpa memikirkan kesannya.
Oleh itu, adalah perlu setiap individu berubah kita seharusnya tidak mementingkan diri sendiri. Kita harus fikirkan keadaan generasi akan datang yang terpaksa menanggung hasil  tindakan yang kita buat hari ini. Adalah menjadi harapan agar individu mula mencerminkan diri. Sudah tiba masanya kita kembali siapa kita sebenar yang memerlukan 'soul reawakening'.

Rumusan.

August 26th, 2008 by Augustine Towonsing

Sebagai rumusan, didapati bahawa sungai di kawasan kajian ini telah tercemar dan jika kita melihat bacaan TDS meter iaitu 130 ppm yang meletakkan sungai di kawasan kajian ini sebagai sungai 'air keras' sekali gus kehilangan fungsi sebagai sumber keguanaan air domestik.
Persoalannya, siapa yang menyebabkan semua ini berlaku? Aktiviti manusialah yang membuat air sungai ini tercemar dan kotor. Jika pencemaran berterusan  air sungai ini tidak boleh digunakan lagi. Penduduk di sekitar kawasan sungai membuang sampah dan tidak memikirkan akibatnya.
Manakala, sistem perparitan sekolah dan sistem perparitan utama di Taman Seri Utama dilihat menghadapi masalah untuk menyalirkan air. Keadaan yang tidak terurus ini membawa kesan yang besar ke atas sistem saliran.
Namun begitu, adalah menyadi harapan agar penduduk di kawasan  kajian  mengambil mengambil inisiatif untuk memikirkan supaya pencemaran yang ada dapat ditanggani atau kita biarkan sahaja dan terpaksa menanggung kesan negatif berpanjangan pada masa hadapan. Oleh itu kita perlu menjaga sistem perparitan dan kebersihan sungai untuk bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga sungai adalah sumber air percuma.

Read more...

RENCANA: Usaha Kawal Pencemaran Sungai di Malaysia masih tidak berubah

>> Sunday, 22 May 2011

Usaha kawal pencemaran sungai di Malaysia masih tak berubah
Oleh Dr Zaini Ujang

2010/10/28

SAYA mempunyai dua jam masa terluang sebelum meninggalkan bandar raya Seoul, ibu negara Korea Selatan pada Selasa lalu. Profesor Kim Kwang-Sik bermurah hati menawarkan khidmat membawa saya melawat ke tempat menarik atau membeli-belah. Disebabkan masa suntuk, saya memilih bersiar-siar di terusan Cheong Gyecheon.

Chong Gycheon mula dibina ketika Dinasti Joseon untuk menyediakan pengairan dan saliran kepada penduduk Seoul, sekali gus memisahkan bahagian barat dan timur. Ketika proses perbandaran berkembang pesat pada 1940-an, terusan itu mengalami pencemaran teruk. Pencemaran terlalu memualkan menyebabkan terusan berkenaan ditutup pada 1976 dengan konkrit untuk digunakan sebagai jalan raya sepanjang 5.8 kilometer (km).
Namun, sekadar menutup terusan atau sungai tercemar tidak menyelesaikan masalah seperti Sungai Segget di Johor Bahru. Sebaliknya menimbulkan lebih banyak masalah lain seperti pembiakan tikus dan pencemaran muara sungai.
Itulah rasional sehingga Datuk Bandar Seoul ketika itu, kini Presiden Korea iaitu Lee Moyung-bak memutuskan untuk memulihara Cheong Gycheon sebagai mercu tanda kesegaran dan kelestarian Seoul pada 2003. Memang banyak masalah terpaksa ditempuh untuk menjayakan projek yang menelan belanja AS$281 juta dalam tempoh dua tahun saja.

Paling ketara ialah mendapat persetujuan pemilik hartanah supaya berpindah. Parti politik pembangkang juga tidak melepaskan peluang untuk menggunakan kesempatan menangguk di air keruh. Tidak kurang 4,000 mesyuarat terpaksa diadakan menyelesaikan pelbagai rungutan, kritikan dan tuntutan!

Namun, selepas projek itu berjaya dilaksanakan, bandar raya Seoul bertukar wajah. Setiap hari lebih 50,000 orang bersiar-siar di sepanjang Cheong Gycheon. Dalam tempoh 40 hari sejak mula dibuka pada 2005, Cheong Gycheon menerima lebih 50 juta pengunjung. Mereka bukan saja bersiar-siar mengikuti arus air tenang yang bersih dan menyegarkan, malah beriadah dan menikmati juadah di ratusan café sepanjang tebing Cheong Gycheon. Selain memberi impak kepada persekitaran berkualiti tinggi, nilai hartanah dan jumlah urus niaga di kawasan sekitar juga meningkat lebih tiga kali ganda.

Sekadar nota kaki, setiap kali saya mengunjungi sungai di bandar raya besar di serata dunia, maka timbul tanda tanya: Apa masalah di Malaysia sehingga sungai di bandar raya utama tidak dapat menjadi daya tarik dan mercu tanda pembangunan lestari? Kenapa pelbagai cadangan memulihara Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Pinang, Sungai Skudai, Sungai Segget dan Sungai Tebrau – misalnya –- masih belum menunjukkan peningkatan dari segi kualiti dan fungsi sungai bandar?
Pada hemat saya, usaha untuk mengawal pencemaran sungai di Malaysia masih berada pada takuk lama dengan modus operandi lama serta komitmen yang juga nampaknya lama. Sebahagian besar agensi terbabit dalam usaha itu, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) masih lagi menggunakan pendekatan serpihan dan bersendirian, biarpun telah lama dan berulang kali disarankan kepentingan usaha pemuliharaan dan pengurusan sungai secara bersepadu.

Selain itu, komitmen rendah dari segi pelaksanaan secara bersepadu pada peringkat tertinggi sesebuah kementerian dan agensi. Hal ini ketara kerana sehingga kini masih belum ada mekanisme berkesan dari segi pelaksanaan projek yang dikenal pasti menyelesaikan masalah sesebuah lembangan sungai secara terancang dan sinergi.

Ini menyulitkan lagi dengan keupayaan sesebuah agensi terbabit masih terbatas dari segi institusi, modal insan, teknikal dan kewangan. Biaya yang sepatutnya digunakan untuk tujuan peningkatan perkhidmatan pembetungan sebagai contoh, sering tidak mencukupi sehingga menyebabkan kumbahan tidak dirawat ke tahap sepatutnya sesuai dengan kualiti air sungai dihasratkan. Selain itu, kepelbagaian agensi terbabit tidak diselaraskan khususnya pada peringkat PBT sehingga mengurangkan keberkesanan projek pemuliharaan sungai.

Perlu juga disebutkan banyak juga pihak berminat membantu sama ada pihak swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Malangnya sehingga kini, mekanisme masih kurang jelas bagi menggembleng kesediaan pihak swasta dan NGO ke arah peningkatan kualiti dan fungsi sungai.

Perlu dinyatakan juga bahawa kaedah memulihara sungai bukan sesukar sains angkasa atau teknologi multimedia 4G. Pada hemat saya, kita mempunyai kepakaran tempatan untuk melaksanakannya.

Saya menimbulkan persoalan ini kerana sudah terlalu banyak dasar, peraturan, slogan, cadangan dan retorik dikumandangkan, sedangkan hasilnya tidak ketara. Banyak inisiatif dilaksanakan, malangnya tidak memberi impak secara struktural kepada peningkatan kualiti sungai. Bagi beberapa kes tertentu, kualiti air sungai semakin teruk dan membimbangkan.

Saya sering diundang memberi syarahan mengenai ekosistem sungai bandar di serata dunia, termasuk di Korea, Australia, Sweden, Denmark dan Jepun yang kualiti dan fungsi sungai bandar begitu baik. Pernah saya ditanya secara sinis ketika berucap di National University of Singapore: “Apakah Malaysia mempunyai keazaman politik untuk memulihkan sungai di bandar raya?”

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar Malaysia

Read more...

PENYELIDIKAN: KAJIAN PENCEMARAN KUALITI AIR SUNGAI PASIR

>> Thursday, 10 February 2011




Read more...





  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP