Laman blog yang memaparkan isu semasa dan aktiviti terkini Ranger River SMK Paka berkaitan masa depan sungai Paka khusus dan sungai di Malaysia amnya.

RENCANA: Usaha Kawal Pencemaran Sungai di Malaysia masih tidak berubah

>> Sunday, 22 May 2011

Usaha kawal pencemaran sungai di Malaysia masih tak berubah
Oleh Dr Zaini Ujang

2010/10/28

SAYA mempunyai dua jam masa terluang sebelum meninggalkan bandar raya Seoul, ibu negara Korea Selatan pada Selasa lalu. Profesor Kim Kwang-Sik bermurah hati menawarkan khidmat membawa saya melawat ke tempat menarik atau membeli-belah. Disebabkan masa suntuk, saya memilih bersiar-siar di terusan Cheong Gyecheon.

Chong Gycheon mula dibina ketika Dinasti Joseon untuk menyediakan pengairan dan saliran kepada penduduk Seoul, sekali gus memisahkan bahagian barat dan timur. Ketika proses perbandaran berkembang pesat pada 1940-an, terusan itu mengalami pencemaran teruk. Pencemaran terlalu memualkan menyebabkan terusan berkenaan ditutup pada 1976 dengan konkrit untuk digunakan sebagai jalan raya sepanjang 5.8 kilometer (km).
Namun, sekadar menutup terusan atau sungai tercemar tidak menyelesaikan masalah seperti Sungai Segget di Johor Bahru. Sebaliknya menimbulkan lebih banyak masalah lain seperti pembiakan tikus dan pencemaran muara sungai.
Itulah rasional sehingga Datuk Bandar Seoul ketika itu, kini Presiden Korea iaitu Lee Moyung-bak memutuskan untuk memulihara Cheong Gycheon sebagai mercu tanda kesegaran dan kelestarian Seoul pada 2003. Memang banyak masalah terpaksa ditempuh untuk menjayakan projek yang menelan belanja AS$281 juta dalam tempoh dua tahun saja.

Paling ketara ialah mendapat persetujuan pemilik hartanah supaya berpindah. Parti politik pembangkang juga tidak melepaskan peluang untuk menggunakan kesempatan menangguk di air keruh. Tidak kurang 4,000 mesyuarat terpaksa diadakan menyelesaikan pelbagai rungutan, kritikan dan tuntutan!

Namun, selepas projek itu berjaya dilaksanakan, bandar raya Seoul bertukar wajah. Setiap hari lebih 50,000 orang bersiar-siar di sepanjang Cheong Gycheon. Dalam tempoh 40 hari sejak mula dibuka pada 2005, Cheong Gycheon menerima lebih 50 juta pengunjung. Mereka bukan saja bersiar-siar mengikuti arus air tenang yang bersih dan menyegarkan, malah beriadah dan menikmati juadah di ratusan café sepanjang tebing Cheong Gycheon. Selain memberi impak kepada persekitaran berkualiti tinggi, nilai hartanah dan jumlah urus niaga di kawasan sekitar juga meningkat lebih tiga kali ganda.

Sekadar nota kaki, setiap kali saya mengunjungi sungai di bandar raya besar di serata dunia, maka timbul tanda tanya: Apa masalah di Malaysia sehingga sungai di bandar raya utama tidak dapat menjadi daya tarik dan mercu tanda pembangunan lestari? Kenapa pelbagai cadangan memulihara Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Pinang, Sungai Skudai, Sungai Segget dan Sungai Tebrau – misalnya –- masih belum menunjukkan peningkatan dari segi kualiti dan fungsi sungai bandar?
Pada hemat saya, usaha untuk mengawal pencemaran sungai di Malaysia masih berada pada takuk lama dengan modus operandi lama serta komitmen yang juga nampaknya lama. Sebahagian besar agensi terbabit dalam usaha itu, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) masih lagi menggunakan pendekatan serpihan dan bersendirian, biarpun telah lama dan berulang kali disarankan kepentingan usaha pemuliharaan dan pengurusan sungai secara bersepadu.

Selain itu, komitmen rendah dari segi pelaksanaan secara bersepadu pada peringkat tertinggi sesebuah kementerian dan agensi. Hal ini ketara kerana sehingga kini masih belum ada mekanisme berkesan dari segi pelaksanaan projek yang dikenal pasti menyelesaikan masalah sesebuah lembangan sungai secara terancang dan sinergi.

Ini menyulitkan lagi dengan keupayaan sesebuah agensi terbabit masih terbatas dari segi institusi, modal insan, teknikal dan kewangan. Biaya yang sepatutnya digunakan untuk tujuan peningkatan perkhidmatan pembetungan sebagai contoh, sering tidak mencukupi sehingga menyebabkan kumbahan tidak dirawat ke tahap sepatutnya sesuai dengan kualiti air sungai dihasratkan. Selain itu, kepelbagaian agensi terbabit tidak diselaraskan khususnya pada peringkat PBT sehingga mengurangkan keberkesanan projek pemuliharaan sungai.

Perlu juga disebutkan banyak juga pihak berminat membantu sama ada pihak swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Malangnya sehingga kini, mekanisme masih kurang jelas bagi menggembleng kesediaan pihak swasta dan NGO ke arah peningkatan kualiti dan fungsi sungai.

Perlu dinyatakan juga bahawa kaedah memulihara sungai bukan sesukar sains angkasa atau teknologi multimedia 4G. Pada hemat saya, kita mempunyai kepakaran tempatan untuk melaksanakannya.

Saya menimbulkan persoalan ini kerana sudah terlalu banyak dasar, peraturan, slogan, cadangan dan retorik dikumandangkan, sedangkan hasilnya tidak ketara. Banyak inisiatif dilaksanakan, malangnya tidak memberi impak secara struktural kepada peningkatan kualiti sungai. Bagi beberapa kes tertentu, kualiti air sungai semakin teruk dan membimbangkan.

Saya sering diundang memberi syarahan mengenai ekosistem sungai bandar di serata dunia, termasuk di Korea, Australia, Sweden, Denmark dan Jepun yang kualiti dan fungsi sungai bandar begitu baik. Pernah saya ditanya secara sinis ketika berucap di National University of Singapore: “Apakah Malaysia mempunyai keazaman politik untuk memulihkan sungai di bandar raya?”

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar Malaysia

Read more...

Animasi Pencemaran Sungai

>> Saturday, 7 May 2011

Read more...

Isu Pencemaran di Malaysia

>> Thursday, 21 April 2011

Pencemaran sungai merupakan suatu isu yang amat mendesak dan memerlukan usaha
holistik daripada pelbagai pihak ke arah penyelesaiannya. Kualiti air sungai-sungai di
Malaysia semakin terancam dengan pencemaran. Pada umumnya, setiap sungai di negara
ini dikategorikan kepada lima kelas iaitu;
· Kelas 1- airnya boleh terus diminum tanpa rawatan
· Kelas 2 – airnya memerlukan rawatan biasa
· Kelas 3 – air nampak bersih, tidak berbau, tetapi kualitinya tercemar dan orang
ramai tidak boleh berenang tetapi boleh berkelah di tebing
· Kelas 4 – tercemar*
· Kelas 5 – hampir mati*
*Bagi Kelas 4 dan 5, keadaan air antara lain berbau busuk dan berwarna hitam.
Senario semasa di Malaysia menunjukkan, bilangan sungai yang berada dalam
kategori Kelas 1 dan Kelas 2 semakin berkurangan tetapi yang dikategorikan dalam Kelas
4 dan Kelas 5 semakin meningkat. Perkembangan ini memang dijangka selaras dengan
pembangunan pesat yang dialami oleh negara selain mentaliti masyarakat yang masih
rendah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.
Pada tahun 2007 pula, Sebanyak 16 batang sungai di negara ini dikategorikan
sebagai tercemar dan ‘hampir mati’. Lokasi kebanyakan sungai tersebut sungai tersebut
berada di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Kos bagi memulihkan setiap
batang sungai tersebut dianggar memerlukan kos antara RM100 juta hingga RM400juta
bergantung kepada panjang sungai tersebut, bentuk pencemarannya dan aspek pemulihan
yang hendak dijalankan (Utusan Malaysia, 4 Februari 2007)

PUNCA DAN IMPAK PENCEMARAN SUNGAI
Punca pencemaran sungai atau secara khususnya air terbahagi kepada dua iaitu punca
tertunjuk dan punca tak tertunjuk. Punca tertunjuk merujuk kepada sumber yang boleh
ditentukan puncanya dan dikenalpasti lokasinya iaitu dengan mengesan dari mana bahan
pencemar berpunca misalnya efluen dari kilang dan sisa haiwan dari kandang ternakan.
Punca tak tertunjuk merupakan punca pencemaran yang tidak jelas dan tidak boleh
ditentukan puncanya secara tepat seperti pencemaran dari kawasan bandar, kawasan
pertanian dan kawasan pembalakan.
Di Malaysia, terdapat dua punca utama bahan pencemar sungai, iaitu, aktiviti
pembangunan tanah serta sumber asli dan pembuangan sisa-sisa ke dalam air. Aktiviti
pembangunan tanah dan sumber asli melibatkan pembukaan kawasan penempatan dan
pertanian baru, pembalakan, pembinaan infrastruktur fizikal seperti jalan raya,
pembangunan bandar dan pembinaan projek-projek fizikal seperti perumahan dan
perindustrian. Semua aktiviti ini menimbulkan masalah hakisan tanah yang mencemar air
sungai dari segi kandungan bahan terampai, warna, kekeruhan, bahan organik dan
masalah pemendapan sungai.
Aktiviti pertanian juga merupakan antara punca utama pencemaran sungai
terutama jika dijalankan di kawasan tanah tinggi. Air hujan yang mengalir dari kawasan
pertanian mengakibatkan hakisan dan meningkatkan kandungan zarah terampai dalam air
sungai. Selain itu bahan kimia yang terdapat dalam racun rumpai, racun serangga, racun
herba serta baja kimia turut mencemar air sungai. Aktiviti pertlombongan juga
merupakan punca pencemaran air sungai kerana air dari kawasan perlombongan
mengandungi kandungan zarah terampai dan bahan logam yang ada kaitan dengan
mineral yang dilombong yang membahayakan kesihatan pengguna. Buangan sisa kotoran
daripada kawasan perindustrian, perbandaran, perumahan, perniagaan dan kilang turut
mencemarkan air sungai.
Dapat dirumuskan, tiga punca utama pencemar sungai di Malaysia ialah buangan
industri terutama industri berasaskan pertanian dan pembuatan, aktiviti penternakan dan
buangan domestik. 

Sumber: http://muhamadnfaizal.blogspot.com/2008/10/isu-pencemaran-sungai-di-malaysia.html

Read more...

PUISI : SUNGAI

>> Wednesday, 13 April 2011

SUNGAI
sungai
airmu mengalir dengan deras dan jernih
tak ada noda yang mengotori dari hari kehari

kau tempat kami mencuci
tempat kami bermain
mencari ikan kesana kemari
dengan senang hati

sungai
dirimu panjang membentang tempat kami berenang
bersama ikan ikan

sungai banyak sekali budimu
kami akan menjagamu oh sungai..

by : lii unsa baroro

Read more...

Animasi Jangan Mencemar Sungai

>> Wednesday, 6 April 2011

Read more...

Official Video : Sungai Lui by Aizat - Cintai Sungai Kita

>> Monday, 21 March 2011

Read more...

Contoh Karangan: Pencemaran Sungai

>> Saturday, 5 March 2011

Contoh Karangan : Pencemaran Sungai


Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan  mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid  melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.
Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka  diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.    
Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran,   Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam  Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun,  jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.  
Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau  diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu  menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis.  Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi  menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.
Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang  ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.
Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan.  Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya,  apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.
Sumber: MindaBahasa

Read more...





  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP