Laman blog yang memaparkan isu semasa dan aktiviti terkini Ranger River SMK Paka berkaitan masa depan sungai Paka khusus dan sungai di Malaysia amnya.

KEBERSIHAN SUNGAI TANGGUNGJAWAB BERSAMA

>> Sunday 19 June 2011

Kebersihan Sungai Tanggungjawab Bersama


Mutu kebersihan sungai di negara ini semakin merosot berikutan sikap masyarakat dan pemilik industri yang membuang sampah dan sisa kilang ke sungai sewenang-wenangnya. Bekas perdana Menteri Tun Dr. Mahathir secara peribadi pernah menyuarakan kebimbangan beliau terhadap masalah pencemaran ini. Pencemaran sungai di negara ini bukan sahaja gagal untuk membantu industri pelancongan bahkan keadaan ini juga boleh menimbulkan masalah jika sungai digunakan sebagai sumber air minuman. Ekoran dari ini, kerajaan menetapkan laporan kualiti alam sekitar merangkumi maklumat terkini mengenai kualiti air dan udara serta pencemaran di negara ini perlu disediakan setiap tiga bulan untuk dibentangkan kepada kabinet.

Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar terpaksa mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan program bagi menyedarkan masyarakat terhadap tanggungjawab memelihara alam sekitar. Gesaan dibuat supaya Jabatan Parit dan Saliran (JPS) sentiasa memperhebatkan kempen Cintailah Sungai Kita kerana kabinet masih tidak berpuas hati terhadap tahap kebersihan sungai. Kempen ini harus diteruskan dengan lebih hebat agar dapat meningkatkan kesedaran orang ramai serta pemilik industri. Hasil kajian yang dijalankan oleh JPS menunjukkan kira-kira 20 sungai mengalami pencemaran serius antaranya Sungai Klang dan Sungai Sepang di Selangor, Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Jimah di Negeri Sembilan dan Sungai Skudai di Johor kerana pembuangan sisa industri, sampah-sarap serta najis ternakan yang dibiarkan berlaku sesuka hati.

Kerajaan negeri juga amat perlu memainkan peranan dalam meningkatkan usaha serta rumusan jangka panjang kepada isu alam sekitar ini. Mereka boleh mengambil tindakan dan mengenal pasti sungai yang terdapat di negeri masing-masing kemudian membahagikan tahap kebersihan sungai itu kepada tiga kategori iaitu;

I) Sungai Bersih
II) Sungai Tercemar (sederhana)
III) Sungai Tercemar (teruk)

Selain itu, tindakan dan langkah segera perlu diambil untuk membersihkan sungai yang menghadapi masalah pencemaran di negeri masing-masing. Mereka juga harus berani bertindak dan mengambil tindakan untuk memberhentikan pencerobohan kawasan tadahan air.

Bagaimanapun, kesedaran dan sifat tanggungjawab individu terhadap alam sekitar adalah tonggak utama bagi memastikan masyarakat memberi tumpuan kepada penjagaan sejagat.

0 comments:






  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP