Laman blog yang memaparkan isu semasa dan aktiviti terkini Ranger River SMK Paka berkaitan masa depan sungai Paka khusus dan sungai di Malaysia amnya.

RENCANA: Usaha Kawal Pencemaran Sungai di Malaysia masih tidak berubah

>> Sunday 22 May 2011

Usaha kawal pencemaran sungai di Malaysia masih tak berubah
Oleh Dr Zaini Ujang

2010/10/28

SAYA mempunyai dua jam masa terluang sebelum meninggalkan bandar raya Seoul, ibu negara Korea Selatan pada Selasa lalu. Profesor Kim Kwang-Sik bermurah hati menawarkan khidmat membawa saya melawat ke tempat menarik atau membeli-belah. Disebabkan masa suntuk, saya memilih bersiar-siar di terusan Cheong Gyecheon.

Chong Gycheon mula dibina ketika Dinasti Joseon untuk menyediakan pengairan dan saliran kepada penduduk Seoul, sekali gus memisahkan bahagian barat dan timur. Ketika proses perbandaran berkembang pesat pada 1940-an, terusan itu mengalami pencemaran teruk. Pencemaran terlalu memualkan menyebabkan terusan berkenaan ditutup pada 1976 dengan konkrit untuk digunakan sebagai jalan raya sepanjang 5.8 kilometer (km).
Namun, sekadar menutup terusan atau sungai tercemar tidak menyelesaikan masalah seperti Sungai Segget di Johor Bahru. Sebaliknya menimbulkan lebih banyak masalah lain seperti pembiakan tikus dan pencemaran muara sungai.
Itulah rasional sehingga Datuk Bandar Seoul ketika itu, kini Presiden Korea iaitu Lee Moyung-bak memutuskan untuk memulihara Cheong Gycheon sebagai mercu tanda kesegaran dan kelestarian Seoul pada 2003. Memang banyak masalah terpaksa ditempuh untuk menjayakan projek yang menelan belanja AS$281 juta dalam tempoh dua tahun saja.

Paling ketara ialah mendapat persetujuan pemilik hartanah supaya berpindah. Parti politik pembangkang juga tidak melepaskan peluang untuk menggunakan kesempatan menangguk di air keruh. Tidak kurang 4,000 mesyuarat terpaksa diadakan menyelesaikan pelbagai rungutan, kritikan dan tuntutan!

Namun, selepas projek itu berjaya dilaksanakan, bandar raya Seoul bertukar wajah. Setiap hari lebih 50,000 orang bersiar-siar di sepanjang Cheong Gycheon. Dalam tempoh 40 hari sejak mula dibuka pada 2005, Cheong Gycheon menerima lebih 50 juta pengunjung. Mereka bukan saja bersiar-siar mengikuti arus air tenang yang bersih dan menyegarkan, malah beriadah dan menikmati juadah di ratusan café sepanjang tebing Cheong Gycheon. Selain memberi impak kepada persekitaran berkualiti tinggi, nilai hartanah dan jumlah urus niaga di kawasan sekitar juga meningkat lebih tiga kali ganda.

Sekadar nota kaki, setiap kali saya mengunjungi sungai di bandar raya besar di serata dunia, maka timbul tanda tanya: Apa masalah di Malaysia sehingga sungai di bandar raya utama tidak dapat menjadi daya tarik dan mercu tanda pembangunan lestari? Kenapa pelbagai cadangan memulihara Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Pinang, Sungai Skudai, Sungai Segget dan Sungai Tebrau – misalnya –- masih belum menunjukkan peningkatan dari segi kualiti dan fungsi sungai bandar?
Pada hemat saya, usaha untuk mengawal pencemaran sungai di Malaysia masih berada pada takuk lama dengan modus operandi lama serta komitmen yang juga nampaknya lama. Sebahagian besar agensi terbabit dalam usaha itu, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) masih lagi menggunakan pendekatan serpihan dan bersendirian, biarpun telah lama dan berulang kali disarankan kepentingan usaha pemuliharaan dan pengurusan sungai secara bersepadu.

Selain itu, komitmen rendah dari segi pelaksanaan secara bersepadu pada peringkat tertinggi sesebuah kementerian dan agensi. Hal ini ketara kerana sehingga kini masih belum ada mekanisme berkesan dari segi pelaksanaan projek yang dikenal pasti menyelesaikan masalah sesebuah lembangan sungai secara terancang dan sinergi.

Ini menyulitkan lagi dengan keupayaan sesebuah agensi terbabit masih terbatas dari segi institusi, modal insan, teknikal dan kewangan. Biaya yang sepatutnya digunakan untuk tujuan peningkatan perkhidmatan pembetungan sebagai contoh, sering tidak mencukupi sehingga menyebabkan kumbahan tidak dirawat ke tahap sepatutnya sesuai dengan kualiti air sungai dihasratkan. Selain itu, kepelbagaian agensi terbabit tidak diselaraskan khususnya pada peringkat PBT sehingga mengurangkan keberkesanan projek pemuliharaan sungai.

Perlu juga disebutkan banyak juga pihak berminat membantu sama ada pihak swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Malangnya sehingga kini, mekanisme masih kurang jelas bagi menggembleng kesediaan pihak swasta dan NGO ke arah peningkatan kualiti dan fungsi sungai.

Perlu dinyatakan juga bahawa kaedah memulihara sungai bukan sesukar sains angkasa atau teknologi multimedia 4G. Pada hemat saya, kita mempunyai kepakaran tempatan untuk melaksanakannya.

Saya menimbulkan persoalan ini kerana sudah terlalu banyak dasar, peraturan, slogan, cadangan dan retorik dikumandangkan, sedangkan hasilnya tidak ketara. Banyak inisiatif dilaksanakan, malangnya tidak memberi impak secara struktural kepada peningkatan kualiti sungai. Bagi beberapa kes tertentu, kualiti air sungai semakin teruk dan membimbangkan.

Saya sering diundang memberi syarahan mengenai ekosistem sungai bandar di serata dunia, termasuk di Korea, Australia, Sweden, Denmark dan Jepun yang kualiti dan fungsi sungai bandar begitu baik. Pernah saya ditanya secara sinis ketika berucap di National University of Singapore: “Apakah Malaysia mempunyai keazaman politik untuk memulihkan sungai di bandar raya?”

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar Malaysia

0 comments:






  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP